Saturday, 14 April 2018

Sekali Lagi Anwar Pertarungkan Sokongan Rakyat Untuk “Kesempakatan Yang Tiada”


Desakan demokrasi memberi kesan berlainan kepada peradaban kemanusiaan dalam desakan menuntut kuasa dan mencabar kuasa.

Atas nama “survival politics” maka segala-galanya berkemungkinan. Yang berbeza, ideologi boleh disatukan, yang bermusuh boleh menjadi sahabat, perbezaan dipalsukan sebagai persamaan, kelainan disenyapkan semata-mata mahu mencabar atau mempertahankan kuasa.

Sentapan semasa berlaku hari ini, bila seteru bangkit memalsukan permusuhan hanya kerana satu matlamat – mencabar kuasa dalam aturan panggilan demokrasi-pilihan raya.

Nilai perbezaan perjuangan diketepikan sementara dan hasrat utama hanyalah untuk menang dan memegang kuasa. Selepas itu perbezaan akan terserlah dan perselisihan kembali bertakhta, lantas menyampaikan semula ketidakstabilan keadaan yang pasti menjadi liabiliti kepada rakyat dan negara.

Ini pasti akan berlaku kerana nada perjuangan sememangnya tidak serupa, rentak tarian sebenarnya berbeza dan hakikatnya perbezaan dan pertentangan yang selama ini wujud akan digendang semula.
Inilah yang ada bila mana Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seteru lamanya, Tun Dr Mahathir Mohamad mencanangkan pergabungan atas alasan memperjuangkan satu musuh.

Asasnya mahu mencabar kuasa – satu matlamat dengan menutup pergolakan dan perseteruan yang ada. Tidak ada sebab lain melainkan gabungan “survival” dan isyarat keterdesakan mereka adalah sebab pergabungan itu perlu ada, walaupun sebenarnya tiada persamaan.

Perselisihan antara Anwar – Dr Mahathir bukan satu perselisihan yang kecil. Cabar-mencabar getir antara mereka memecahkan kesatuan dalam Umno – parti yang 100% disokong oleh orang Melayu atas perjuangan Melayu.

Sengketa mereka membawa kepada perjuangan Reformasi yang melibatkan rakyat. Rakyat terpanggil dengan pendedahan salah laku Dr Mahathir yang dibongkar Anwar. Sokongan Barisan Nasional (BN) merosot atas perkelahian ini.

Hari ini, dalam panggilan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tiba, Dr Mahathir membongkar salah laku yang dikatakan – dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak dan ini seakan sama, bila Anwar menuduh beliau sebelum ini – dalam usaha mencabar kuasa.

Demi tujuan Anwar untuk menumpaskan Umno yang ditinggalkan lebih 20 tahun dan hasrat Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib – pemalsuan persengketaan dilakukan atas alasan kononnya hasrat yang serupa.

Melihat kekuatan sokongan kepada kerajaan yang ada, mereka mengakui tanpa kesepakatan – biar palsu, perbezaan disenyapkan dan persengketaan yang digantung sementara, Najib tidak akan dapat ditumpaskan.

Justeru, Anwar dan Dr Mahathir cuba mencari kesepakatan yang tiada, semata-mata untuk melemahkan kerajaan kepimpinan Najib. Usaha hanya untuk mencabar kuasa yang ada.

Persoalan yang nyata adalah – adakah mereka mampu bersepakat, menutup sebelah mata atas persengketaan yang ada sebelum ini. Apakah ini boleh diselesaikan – antara tuduhan Anwar mengenai salah laku Dr Mahathir dan sebaliknya Dr Mahathir kepada Anwar dan adakah ini boleh diselesaikan semata-mata kerana matlamat sama – menjatuhkan Najib?

Sekiranya tercapai cabaran menjatuhkan Najib, tidakkah mereka berdua, pengikut mereka akan bercakaran semula, mempersoalkan mengenai kedudukan – mengganggu kestabilan politik dan merosakkan kestabilan negara?

Anwar dalam kenyataan baru-baru ini menyimpulkan BN gusar wujud pergabungan antara beliau dengan Dr Mahathir. Beliau berkata, penggabungan ini akan membawa kepada keruntuhan BN dan Umno.

Apakah BN, khususnya Umno gusar mengenai penggabungan ini atau sebenarnya penggabungan ini memperlihatkan usaha terdesak kedua-duanya untuk menyimpulkan matlamat tersendiri.

Adakah tidak kita melihat semua ini sebagai satu gerakan semula – mengembalikan keadaan nazak politik kita ke zaman sebelum ini – ketika riuh cabar-mencabar sehingga berderau gerakan Reformasi di negara kita ini.

Seakan hari ini kita menutup perlakuan korupsi lampau – penyalahgunaan kuasa sewaktu berkuasa sebagai dimaafkan, dibolehkan dan membolehkan, semata-mata ada tuduhan penyalahgunaan kuasa dan korupsi perlakuan kepimpinan masa ini.

Mungkin benar, keterdesakan menyempurnakan hasrat membenarkan apa saja – walaupun seketika. Pada mereka, perang antara mereka boleh dimulakan semula setelah isu menjatuhkan Najib dan Umno selesai.

Anwar dan Dr Mahathir seakan membuat kesimpulan untuk hanya menjatuhkan Najib dan BN terlebih dahulu, tanpa mempedulikan perbalahan sesama sendiri, tetapi ini akhirnya memberi impak semula kepada pergeseran mereka. Ini tidak menguntungkan rakyat dan negara.

Kedua-dua pemimpin itu sebenarnya hanya memalsukan kesepakatan mereka untuk satu tujuan sama dan kemudiannya bertelagah – yang akhirnya merugikan kita.

Rakyat Malaysia seharusnya melihat dan memberi pengkhususan terperinci dalam melihat kesepakatan yang tidak jelas ini.

Dalam PKR sendiri sudah bergolak, bila mana penyokong parti itu merasakan kepimpinan tertinggi mereka seolah-olah mempersendakan perjuangan mereka sebelum ini untuk menuntut keadilan dan reformasi.

Apakah Anwar sedar pergeseran yang wujud antara penyokong beliau dalam isu menjalin kesepakatan dengan Dr Mahathir – yang ditentang sebelum ini, apatah lagi untuk menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, sekiranya Pakatan Harapan menang PRU14 ini.

Bagi yang melihat, tidak dari sudut politik dan mempolitikkan nasib rakyat Malaysia – usaha sama yang bermatlamat sempit harus dihindarkan.

Usaha utama adalah untuk memartabatkan rakyat – bukan memanipulasi rakyat untuk tujuan mencabar dan mendapatkan kuasa. Mungkin itu adalah lenggok politik yang ada sekarang ini.

Rakyat Malaysia harus mengukur sama ada kemuafakatan palsu itu dapat memberi manfaat kepada rakyat negara ini dalam mengurus satu keharmonian yang sepatutnya ada, dengan kemakmuran yang patut dicapai.

Tuntutan demokrasi dan PRU14 seharusnya memberi rakyat ruang untuk memilih yang terbaik, bukan gabungan yang berbeza disatukan hanya untuk matlamat politik semata-mata.

Kita perlu berwaspada, kegelojohan mencapai matlamat, memungkinkan kita mendapatnya, tetapi tidak menjanjikan ia berkekalan.

Kita tidak boleh mengorbankan nasib bangsa dan negara kepada gabungan yang tidak ada kepastian. Sewajarnya keyakinan permuafakatan dan kesepakatan diselesaikan sebelum rakyat dapat memberi sokongan untuk perubahan dalam peneraju kuasa.

Anuar Mohd Nor


XOXO - Apabila Islam bukan matlamat perjuangan, moral dan akhlak sudah tidak ada lagi mereka sanggup jilat ludah demi nak memuaskan nafsu. Rakyat jadi mangsa pertarungan ini... Rakya seperti bola boleh disempak teranjang untuk hala tuju pemipin bernafsu besar.

Sila layari : https://gagasansejahtera.blogspot.my/

No comments:

Post a Comment