DALAM catatan Guiness
World Records, Morarji Desai yang mengetuai kerajaan India dari tahun
1977-1979 adalah individu paling tua ketika dilantik kali pertama
sebagai Perdana Menteri. Beliau berusia 81 tahun ketika itu dan rekod
dunia tersebut masih milik beliau.
Di Amerika Syarikat (AS) yang sering
mendakwa kerajaan demokrasi tertua dunia pula, Donald Trump adalah yang
paling tua dilantik sebagai Presiden iaitu pada usia 70 tahun dan 220
hari, mengatasi rekod dipegang Ronald Reagan (69 tahun) kira-kira tiga
dekad sebelum itu.
Jika bukan menjadi Perdana Menteri kali pertama, rekod yang paling tua dipegang oleh William Gladstone yang menjadi Perdana Menteri Britain buat kali keempat pada 1892 dalam usia 82 tahun, dia kemudian melepaskan jawatan tersebut dua tahun kemudian.
Namun secara puratanya di Britain, usia Perdana Menteri negara itu adalah 53 tahun dan 87 hari manakala di AS, usia purata Presiden adalah 55 tahun dan 6 bulan dengan Reagan paling tua ketika melepaskan jawatannya pada usia 77 tahun.
Jika diambil keadaan semasa, ketua negara dan ketua kerajaan yang paling tua berada di tampuk pemerintahan adalah Robert Mugabe sebelum terpaksa meletak jawatan Presiden Zimbabwe pada usia 93 tahun tidak sampai dua bulan lalu.
Ini menjadikan ketua negara paling tua dipegang oleh Ratu Elizabeth II yang masih di atas takhta pada usia 91 tahun diikuti Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi, 90.
Di Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah individu paling berusia ketika kali pertama mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri iaitu pada usia 64 tahun mengatasi rekod yang dipegang Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum itu.
Namun, Dr. Mahathir yang kini di dalam blok pembangkang diketuai seteru lamanya - DAP masih memegang rekod Perdana Menteri paling lama berkhidmat iaitu 22 tahun. Walau bagaimanapun itu hanya rekod kebangsaan.
Dr. Mahathir yang diangkat sebagai bakal Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan dalam kongres mereka kelmarin termasuk direstui PKR yang dahulunya menyumpah seranah tidak cukup bakul ke atas beliau, berpeluang mencatat nama dalam Rekod Dunia Guiness.
Dilahirkan pada 1925 iaitu setahun selepas Mugabe dan setahun sebelum Ratu Elizabeth II, Dr. Mahathir ‘mendapat peluang’ daripada DAP dan PKR untuk memecahkan rekod bekas Presiden Zimbabwe itu.
Tanpa perlu mengelilingi dunia dengan kapal layar atau mendaki Everest, Dr. Mahathir boleh mencatat namanya dan Malaysia dalam rekod dunia jika menjadi Perdana Menteri Ketujuh pada usianya 92 tahun. Tetapi itukah rekod dimahukan? Pastinya tidak.
Masa depan negara bukan untuk diperjudikan. Pakatan Harapan bukan gabungan kukuh untuk memerintah negara, mereka hanya pakatan marriage of convenience terbesar dalam sejarah semata-mata mahu melunaskan dendam. Maka tak perlulah, malu dengan rakyat Zimbabwe yang sakan berpesta setelah Mugabe yang juga rakan seangkatan Dr. Mahathir berundur. - UM
No comments:
Post a Comment