16 APRIL lalu, sewaktu mengumumkan pencalonan David Nga Kor Ming sebagai wakil DAP bagi kerusi P76 Telok Intan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, turut mengumumkan bahawa, jika menang, Nga Kor Ming “akan jadi Menteri di Kabinet baru Pakatan Harapan (PH)”.
Kata Lim Guan Eng: “Beliau juga akan jadi Menteri di Kabinet baru PH dan sebagai Menteri saya boleh jaminkan beliau akan bawa lebih banyak perubahan daripada Menteri sekarang. Beliau adalah calon DAP di bawah simbol PH simbol PKR.”
Pengumuman Lim Guan Eng di Telok Intan bahawa, jika menang, Nga Kor Ming “akan jadi Menteri di Kabinet baru PH” ini, pada hemat saya, memberikan gambaran mengenai dua permasalahan utama yang melanda DAP sebagai sebuah parti politik.
Permasalahan pertama adalah membabitkan sikap besar kepala dan dominasi DAP di dalam PH di mana di dalam banyak perkara DAP kelihatan mahu mendahului pimpinan tertinggi PH dan mahu memaksakan kehendaknya pada mereka.
Bila penyandang kerusi N26 Tebing Tinggi, Ong Boon Piow, mengumumkan pencalonan Dr Abdul Aziz Bari sebagai wakil DAP bagi kerusi itu, terus sahaja Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook, mengeluarkan kenyataan membidasnya.
Kata Loke Siew Fook, Ong Boon Piow akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib parti kerana sebarang pengumuman calon daripada DAP hanya boleh diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP atau pemimpin CEC yang telah diberikan mandat oleh Setiausaha Agung DAP sahaja.
Bagaimanapun, di dalam kes pengumuman Nga Kor Ming “akan jadi Menteri di Kabinet baru PH” ini Lim Guan Eng tidak pula dimaklumkan mendapat mandat parti, lebih-lebih lagi persetujuan Majlis Presiden PH sebelum berbuat demikian.
Pengumuman Nga Kor Ming “akan jadi Menteri di Kabinet baru PH” oleh Lim Guan Eng ini tidak syak lagi boleh digunakan sebagai bukti betapa DAP tidak menghormati Majlis Presiden sebagai badan pembuat keputusan tertinggi di dalam PH.
Permasalahan kedua adalah membabitkan usaha DAP untuk menepis imej anti-Islam dan anti-Melayu yang dihadapinya yang sebenarnya tercalar lebih teruk lagi ekoran pengumuman Nga Kor Ming “akan jadi Menteri di Kabinet baru PH” oleh Lim Guan Eng ini.
Ini kerana rata-rata orang Islam dan orang Melayu di Perak dan di Malaysia masih mengingati dengan jelas kenyataan-kenyataan Nga Kor Ming yang bersifat sangat prejudis terhadap orang Islam dan orang Melayu di dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Tidak semua orang Islam dan orang Melayu di Perak dan di Malaysia bersetuju dengan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir. Tetapi ucapan Nga Kor Ming berbunyi “di Negeri Perak Darul Kaput ini kita ada Menteri Besar hitam metallic yang haram jadah itu” adalah keterlaluan.
Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan Nga Kor Ming di dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang sebahagiannya telah dilaporkan kepada polis, yang menguatkan lagi persepsi orang Islam dan orang Melayu bahawa DAP adalah anti-Islam dan anti-Melayu.
Orang Islam dan orang Melayu sukar lupa bahawa pada 14 Disember 2015 Nga Kor Ming pernah menyindir pakaian purdah sambil menyifatkan Datuk Ahmad Darus yang mencadangkan dalam Perhimpunan Agung Umno supaya pramugari MAS memakai pakaian menutup aurat sebagai "Pemimpin Melayu otak cacat".
Orang Islam dan orang Melayu sukar lupa bahawa pada 5 Julai 2016 Nga Kor Ming pernah menaikkan ucapan Hari Raya Aidil Fitri yang menyertakan gambar rumah api yang berlatarbelakangkan bendera Amerika Syarikat dan yang diselitkan dengan perkataan “In God We Trust” serta “Lord, Guide Our Nation Back To You”.
Orang Islam dan orang Melayu sukar lupa bahawa pada 6 Julai 2016 Nga Kor Ming pernah menaikkan ucapan Hari Raya Aidil Fitri yang menyertakan gambar kartun yang memberi makna bahawa pemberian duit raya ketika menyambut Hari Raya Adil Fitri oleh orang Islam kepada kanak-kanak sebagai "derma” dan “dedak”.
Orang Islam dan orang Melayu sukar lupa bahawa pada 1 Ogos 2017 Nga Kor Ming pernah mengongsi poster yang menggambarkan Tun Abdul Razak Husin sebagai “Pengkhianat negara yang sebenar” kerana berkhidmat dengan tentera Jepun berbanding Chin Peng yang berjuang melawan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua.
Bila Nga Kor Ming dengan imej negatifnya di kalangan orang Islam dan orang Melayu di Perak dan di Malaysia awal-awal lagi diumumkan oleh Lim Guan Eng “akan jadi Menteri di Kabinet baru PH” maka akan lebih negatiflah imej DAP di kalangan mereka.
DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
No comments:
Post a Comment