Pemangku Raja Pahang Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah dilapor terguris dengan kenyataan anggota
parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkaitan ayahandanya.
Tengku Abdullah bertitah, Mahfuz melanggar ketertiban
sebagai seorang yang lebih muda tambahan pula individu yang dimaksudkan
seorang raja, lapor Utusan Malaysia.
"Saya juga amat marah, tersinggung kerana (penyebaran) video berkenaan yang diambil oleh pihak istana sendiri.
“Saya akan ambil tindakan," baginda dilapor sebagai bertitah selepas berangkat mencemar duli melawat mangsa kebakaran di Sungai Isap 2 di Kuantan hari ini.
Mahfuz didakwa menghina Sultan Ahmad dengan menjadikan baginda jenaka dalam ceramah politik dan menggesa tindakan undang-undang dikenakan terhadapnya.
Berdasarkan petikan ceramah dimuat naik di Youtube, Mahfuz membandingkan usia calon perdana menteri Pakatan HarapanTun Dr Mahathir Mohamad dan Sultan Ahmad.
Mahfuz berkata demikian ketika mengulas kritikan terhadap pemilihan Mahathir sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan di usia 93 tahun.
Mahfuz, wakil bebas yang baru keluar PAS itu bagaimanapun menafikan menghina pemimpin tertinggi Pahang itu.
Beliau sebaliknya berkata beliau sebenarnya “memuji” sultan Pahang dan Mahathir yang masih boleh memimpin walaupun di usia tua.
No comments:
Post a Comment