Wednesday, 2 May 2018

5 Sebab Kenapa Pas Wajar Raikan Kemenangan Walaupun Hanya Permohonan Interlokutori?


1. Secara mudahnya, permohonan interlokutori  adalah suatu permohonan sebelum perbicaraan penuh.

Permohonan tersebut boleh wujud dalam banyak jenis, yang mana tujuannya adalah sama ada untuk melemahkan kes pihak lawan, memberi lebih merit kepada kes, membatalkan tindakan pihak lawan ataupun memanjangkan masa tindakan.

2. Dalam perkembangan terkini kes saman Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) terhadap Clare Rewcastle Brown (CRB)/ (pemilik Sarawak Report), terdapat pendengaran terhadap 5 permohonan interlokutori, di mana 1 permohonan daripada pihak TGHH dan 4 lagi daripada CRB. Keputusan pendengaran permohonan tersebut kesemuanya berpihak kepada TGHH.

3. Permohonan yang telah dibuat itu adalah;

a. TGHH memohon supaya lebih daripada separuh Pembelaan CRB dibatalkan - Mahkamah benarkan dengan memutuskan bahawa pembelaan mereka tidak mempunyai asas.

b. CRB memohon kepada Mahkamah untuk meminda Pembelaan dengan memasukkan isu rakaman audio - CRB sendiri secara rasmi meninggal-biarkan permohonan untuk meminda Pembelaan beliau

c. CRB memohon kepada Mahkamah untuk membatalkan tuntutan TGHH berkaitan dengan locus standi - Mahkamah menolak permohonan CRB

d. CRB memohon untuk diadakan perbicaraan berasingan bagi menentukan persoalan 'reference' berkaitan 'top echelon'/ siapakah yang dimaksudkan dengan kepimpinan tertinggi parti - Mahkamah menolak permohonan CRB

e. CRB memohon kepada Mahkamah untuk 'Stay of Proceeding' kerana wujudnya gangguan kepada saksi - Permohonan ditangguhkan sehingga CRB failkan permohonan lain untuk meminda Pembelaan

4. Berdasarkan kepada keputusan pendengaran interlokutori ini, banyak cakap-cakap daripada musuh politik PAS yang mengatakan bahawa ini bukanlah kemenangan untuk PAS kerana perbicaraan penuh hanya akan dilakukan pada April 2019.

5. Sebenarnya, keputusan Mahkamah yang menyebelahi PAS dalam pendengaran interlokutori ini sangat bermakna kerana ianya akan mempengaruhi hampir keseluruhan perbicaraan penuh nanti untuk berpihak kepada PAS.

Kenapa saya katakan begitu?

a. Menang kalah kes sangat bergantung kepada bukti. Dalam Mahkamah, Hakim tidak akan terus menerima pernyataan tuntutan Plaintif mahupun pernyataan pembelaan Defendan jika tiada bukti.

Namun begitu, bukti ini mestilah relevan kepada kes. Apa yang terjadi dalam kes Sarawak Report adalah, CRB hanya menyumbat apa sahaja maklumat terutamanya yang berkaitan dengan korupsi UMNO/BN tanpa mengira sama ada ianya boleh menjadi bukti untuk menunjukkan TGHH menerima rasuah.

Apabila Mahkamah menolak hampir 42 muka surat 'bukti' yang dibawa CRB, apa lagi yang tinggal untuk CRB membela dirinya untuk mengatakan bahawa TGHH menerima 90 juta itu bukanlah satu fitnah?

b. CRB sendiri meninggal- biarkan permohonannya untuk meminda Pembelaan dengan memasukkan isu rakaman audio menunjukkan bahawa CRB sendiri masih tidak pasti dan tidak yakin dengan kebenaran rakaman audio tersebut seperti mana yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak sebagai diyakini benar.

c. Kemenangan paling besar kepada TGHH adalah apabila CRB gagal untuk membatalkan isu locus standi dalam kes ni daripada TGHH/individu kepada PAS/parti politik.

Sudahlah pernyataan tanpa buktinya dibatalkan lebih daripada separuh oleh Mahkamah, bukti apa lagi yang tinggal atas CRB untuk menunjukkan bahawa TGHH menerima rasuah melainkan melalut menyenaraikan pimpinan PAS yang difitnahkan sebagai bermewah-mewah dalam pelbagai bentuk kekayaan. Apa sahaja yang dilihat seperti mungkin semuanya dimasukkan seperti Ustaz Khalil yang dituduh memiliki motor besar hanya kerana sekeping foto walaupun beliau sendiri tidak memiliki lesen motor.

Dalam hal ini, CRB mempunyai beban bukti yang berat untuk menunjukkan kekayaan TGHH yang mana rakyat Malaysia sendiri sudah maklum dengan kehidupan Tuan Guru PAS yang serba sederhana itu.

d. Permohonan untuk perbicaraan berasingan terhadap persoalan sama ada pembaca memahami terma 'top echelon' sebagai Presiden parti atau termasuk semua jawatan kepimpinan dalam parti yang lain yang turut ditolak juga menunjukkan kecenderungan Mahkamah untuk tidak membahaskan isu 'top echelon' ini dengan panjang lebar. Ini merupakan suatu signal yang positif atas sebab yang sama seperti yang dinyatakan dalam isu locus standi. CRB sudah pasti mengalami kesukaran untuk membuktikan transaksi rasuah itu wujud dan juga kemewahan hidup TGHH hasil penerimaan rasuah.

e. CRB gagal mengelirukan Mahkamah dengan kesalahan fakta yang banyak disumbatkan dalam Pembelaan, bertujuan untuk memburukkan-burukkan TGHH dan PAS dengan mereka-reka penipuan yang lain pula. Sebagai contoh, perenggan 18 berkaitan dengan kes kalimah Allah ke Mahkamah adalah dibawa oleh Pastor bukannya PAS seperti yang didakwa oleh CRB dalam pembelaan serta banyak lagi fakta yang salah jika diteliti.

Justeru, keputusan permohonan ini hanyalah  menyerlahkan lagi reputasi CRB sebagai seorang yang biasa memusing dan memutar belitkan kenyataan walaupun tiada bukti atau dengan menggunakan fakta yang salah.

6. Oleh itu, tidak benar jika ada pihak yang mengatakan bahawa PAS tidak perlu gelojoh meraikan kemenangan kerana ianya baru keputusan untuk permohonan.

7. Selaku ahli PAS, berita ini adalah suatu kemenangan moral dalam membuktikan betapa CRB tiada bukti dalam menuduh TGHH menerima duit 90 juta dan akan terus mengalami kesukaran mencari bukti menuju perbicaraan.

8. Oleh yang demikian, marilah kita meraikan kemenangan awal ini dengan sama-sama terus menyumbang untuk kos guaman Sarawak Report dengan lebih banyak lagi.

Muna Rime



XOXO - Sesiapa yang terpalit dengan fitnah ini, memburukkan imej PAS dengan menyebar luas fitnah sudah pasti akan mendapat balasannya. Semoga Allah mengampunkan kita dan menghindarkan diri kita daripada menjadi manusia yang bengkrap di akhirat nanti...

Sila layari : https://gagasansejahtera.blogspot.my/

No comments:

Post a Comment