Sunday, 24 December 2017
ECRL: Hutang atau Pelaburan Bayang-Bayang Mengerikan
TUN DAIM Zainuddin dan sesiapa pun yang peduli mengenai kepentingan negara dan rakyat jelata berhak mendapat kepastian mengenai projek Landasan Kereta Api Pantai Tumur (ECRL).
Najib meletakkan batu asas projek hutang RM55 bilion
Projek ini silap-silap boleh membebankan lagi rakyat jelata yang sudah pun terbeban selain menjejaskan kedaulatan negara.
(Datuk Seri) Abdul Rahman Dahlan pula, sebagai jurucakap ekonomi kerajaan merangkap bapak kepala komunikasi strategik Barisan Nasional berhak mempertahankan modus operandi projek mercu tanda Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak, itu.
Bagi saya, yang penting dan utama adalah memberi kefahaman kepada rakyat jelata dan pembayar cukai akan kesan projek itu ke atas mereka sekarang dan 30 tahun akan datang.
Daim bertanya sama ada ECRL pelaburan asing atau hutang luar negara. Kalau Daim, sebagai seorang bekas menteri kewangan, peniaga, majistret dan peguam pun keliru apatah lagi rakyat jelata.
Yang buat Daim dan rakyat jelata keliru adalah bapak-bapak kepala (bukan kepala bapak) pemerintah sendiri yang secara sengaja atau kebetulan telah mencampuradukkan pelaburan terus asing (foreign direct investment) dengan pinjaman projek (projek loan).
Maaflah kalau saya kata, jentera propaganda kerajaan sendiri nampaknya tidak faham atau keliru mengenai pembiayaan antarabangsa (international financing).
Apabila Perdana Menteri balik dari lawatan ke China pada bulan Mei lalu, peniup trompet utama beliau, Utusan Malaysia melaporkan yang Najib “meraih pelbagai peluang pelaburan dalam bidang infrastruktur untuk memajukan negara.”
Kata kunci di sini ialah pelaburan. Utusan memetik Bernama sebagai melaporkan bahawa Najib telah menyaksikan majlis menandatangani sembilan perjanjian persefahaman antara syarikat Malaysia dan rakan niaga China yang melibatkan pelaburan dalam bidang infrastruktur kira-kira RM30 bilion.
Sebelum itu - dalam bulan April - Setiausaha Kementerian Kewangan, (Tan Sri Dr) Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata Najib akan menandatangani perjanjian untuk projek ECRL yang dijangka menelan belanja RM55 bilion serta pemberian kontrak kepada syarikat negara China untuk membina ECRL.
Jadi, sama ada kerana hendak memberi gambaran bahawa lawatan Najib ke China sangat berjaya atau cuba menyembunyikan hakikat kerajaan berhutang lagi maka garis pemisah di antara pinjaman luar negara (foreign borrowing) dengan FDI dikelabukan.
Projek ECRL ini, ikut cerita kerajaan akan menelan belanja RM55 bilion dengan 85 peratus daripadanya akan dipinjam daripada China manakala baki 15 peratus melalui pinjaman Sukuk.
Berita kerajaan berhutang lagi tentulah tidak positif kerana hutang kerajaan sudah hampir mencecah tahap maksimum (ceiling) yang kerajaan sendiri tetapkan iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).
Terkejut dengan pertanyaan Daim itu, Abdul Rahman sebagai bapak kepala komunikasi strategik BN terpaksa mengolah jalan cerita baru.
Abdul Rahman olah jalan cerita baru
Plot barunya ialah duit RM55 bilion untuk membiayai ECRL itu adalah hutang. Kerajaan sengaja berhutang kerana mahu melabur dalam ECRL. Kerajaan tidak mahu pelabur asing memiliki ECRL.
Masuk Akal
Memang kita pun tidak mahu pelabur asing memiliki aset strategik macam kereta api apatah lagi pelabur China. Di China yang berkuasa mutlak adalah Parti Komunis China (CPC).
Malangnya hujah kerajaan tidak mahu orang asing miliki ECRL sudah tidak laku lagi kerana kerajaan sendiri telah mengkhianatinya apabila ia menjual aset strategik yang berupa Penjana Elektrik Bebas (IPP) milik Edra Global kepada China General Nuclear Power Corporation pada tahun 2015.
Arul Kanda Kandasamy nampak OK saja!
Kerajaan jual Edra Global kepada pelabur China dengan harga potongan kerana hendak menyelesaikan hutang 1MDB – beli dengan harga RM12 bilion dan jual kepada China dengan harga RM9.8 bilion. Edra Global asalnya milik 1MDB.
Ini sekali gus membuktikan yang 1MDB berhutang sangat banyak di dalam dan luar negara – melebihi RM50 bilion - yang terpaksa dibayar tidak kira hujan atau kemarau.
Maka hendak tidak hendak 1MDB terpaksa menjual hartanya dan yang ada duit dan sanggup membeli harta yang kontroversial itu adalah China.
Hutang 1MDB yang kini diambil alih oleh Kementerian Kewangan belum tentu mampu dibayar balik. Sekarang kerajaan berhutang pula RM55 bilion dari China dan sumber-sumber lain untuk membina ECRL.
ECRL Terancam
Tidak mustahil ECRL juga akan jatuh ke tangan China seperti mana Edra Global atau macam Pelabuhan Hambantota di Sri Lanka yang baru-baru ini terpaksa dipajak kepada China selama 99 tahun setelah kerajaan Sri Lanka mengalami masalah membayar balik hutang AS$8 bilion (kira-kira RM33.6 bilion) kepada China.
Dasar China adalah memberi pinjaman mudah kepada kerajaan asing dengan syarat kontrak pembinaan diberikan kepada syarikatnya, dan kalau kerajaan asing gagal bayar balik pinjaman ia akan ambil alih pemilikan projek terbabit. Itulah yang berlaku kepada Pelabuhan Hambantota.
Pelabuhan Hambantoto dipajak kepada China 99 tahun
Hal yang sama mungkin terjadi kepada ECRL sekiranya hutang daripada China ditakdirkan kita tidak dapat dibayar balik. ECRL mungkin terpaksa dipajak atau dijual terus kepada China.
Ironi Hutang China
Yang pelik, China juga sebenarnya tidak ada duit. China juga berhutang. Malah hutang China berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) lebih teruk daripada kita dan antara yang paling tinggi di dunia.
Cuma China ini besar. Buminya luas, rakyatnya banyak, bala tenteranya besar dan ekonominya berkembang pesat. Jadi orang percaya dan sanggup bagi hutang.
Menurut Bank for International Settlements (BIS) hutang China adalah 257 peratus daripada KDNK tahun ini (2017) berbanding Malaysia sekitar 54 peratus. Realitinya China berhutang untuk memberi hutang.
Malah untuk projek-projek miliknya di Malaysia macam Edra Global dan beberapa buah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia ia telah dan sedang berhutang.
Julai lalu, anak syarikat Edra Global - Tadau Energy Sdn Bhd - telah berhutang dengan menjual Sukuk Hijau bernilai RM250 juta. Itu hanyalah sebahagian kecil daripada Sukuk bernilai RM5.28 bilion yang dicadangkan oleh Edra Global.
Jadi adalah tidak mustahil langsung China memberi hutang kepada kerajaan Malaysia dan memiliki projek di Malaysia melalui hutang yang mereka peroleh di Malaysia sendiri.
Maka sama ada ia pelaburan atau pinjaman, nampaknya projek-projek yang melibatkan “modal” China seperti ECRL dan Edra Global tidak mustahil menjadi projek kong kali kong – gendang kosong yang hebat bunyinya tetapi mungkin merugikan kita dan mengancam kedaulatan serta keselamatan negara.
Wallahuaklam.
A. KADIR JASIN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Blog Archive
-
►
2018
(185)
- ► 05/06 - 05/13 (5)
- ► 04/29 - 05/06 (13)
- ► 04/22 - 04/29 (16)
- ► 04/15 - 04/22 (2)
- ► 04/08 - 04/15 (19)
- ► 04/01 - 04/08 (20)
- ► 03/25 - 04/01 (8)
- ► 03/18 - 03/25 (19)
- ► 03/11 - 03/18 (10)
- ► 03/04 - 03/11 (4)
- ► 02/25 - 03/04 (5)
- ► 02/18 - 02/25 (7)
- ► 02/11 - 02/18 (3)
- ► 01/28 - 02/04 (5)
- ► 01/21 - 01/28 (15)
- ► 01/14 - 01/21 (15)
- ► 01/07 - 01/14 (19)
-
▼
2017
(43)
- ► 12/31 - 01/07 (32)
-
▼
12/24 - 12/31
(8)
- Untuk Perkena “Mufti” Malaysiakini Sanggup guna Az...
- Mahathir minta maaf aje.. tak menangis seperti Per...
- Mahathir nak kembali semula kuasa hakim jika Harap...
- Penyamum Vs Perompak, Rakyat Terseksa
- Pembongkaran isu Wang Kelian, Felda ‘kebetulan’ te...
- 70% kedai tutup selepas kubur beramai-ramai ditemu...
- Syarikat guaman pemimpin PKR wakili syarikat perum...
- ECRL: Hutang atau Pelaburan Bayang-Bayang Mengerikan
- ► 08/06 - 08/13 (2)
- ► 07/30 - 08/06 (1)
No comments:
Post a Comment